Berita Semasa

KEB 2024 libat semua Bumiputera, terbuka kepada parti politik termasuk pembangkang

PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak kerajaan turut mengalu-alukan penglibatan semua parti politik termasuk pembangkang untuk menyertai KEB 2024.

“Kita buta warna dalam ekonomi Bumiputera,” katanya selepas ditanya adakah KEB 2024 akan melibatkan semua parti politik termasuk pembangkang.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Peluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Dewan Putra, Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kongres yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) itu akan melibatkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Main), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazan Dusun serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Iban dan Dayak dari Sarawak.

“Penglibatan mereka pada kali ini adalah untuk mengetuai kluster Sabah dan Sarawak bagi kita meneliti beberapa perincian dan juga program sebagai komponen penting dalam pelaksanaan KEB.

Tambah Ahmad Zahid, KEB bertujuan mencadangkan hala tuju serta pendekatan baharu agenda pemerkasaan Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif.

“KEB 2024 juga akan menggali beberapa aspek teknologi baharu dan peluang baharu dalam bidang yang belum terjangkau di negara ini dan kita akan melihat unjuran 10 hingga 20 tahun akan datang dan apa yang diperbincangkan di peringkat sekretariat dengan memperkasakan institusi dan agensi yang diwujudkan sejak kongres pertama pada 1965.

“Ia akan turut mencadangkan pendekatan yang lebih menyeluruh dalam membuat penilaian mengenai pembangunan Bumiputera termasuk tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera,” ujarnya lagi.

Bertemakan ‘Positif Progresif Inovatif’, lebih 3,000 peserta dijangka akan menyertai KEB 2024 sebagai landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Show More

Related Articles

Back to top button