Berita Semasa

Kertas Putih Pertahanan: Pengambilan ‘hackers’ akan dibuat sebagai anggota pertahanan negara

KUALA LUMPUR – Penyediaan dan pembangunan Angkatan Masa Hadapan mesti menjadi matlamat besar yang mendasari Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan dasar-dasar atau pelan strategik yang menyokongnya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, namun tafsiran Angkatan Masa Hadapan itu perlu difahami dengan cara dan konteks yang lebih luas dan strategik.

“Ia tidak secara automatik merujuk secara terhad kepada hanya pengambilan lebih ramai anggota atau perolehan lebih banyak aset.

“Sebaliknya, membangunkan Angkatan Masa Hadapan mesti dilihat sebagai satu proses yang menuntut turut kita melihat pelbagai keperluan strategik lain. Misalnya membahaskan keperluan satu angkatan khusus yang memberi tumpuan kepada ancaman bukan tradisional, seperti keselamatan siber, ancaman digital serta elektromagnetik pertahanan.

“Pemfokusan ke atas domain ini bukanlah sesuatu yang pelik. Banyak negara dunia dan kuasa besar pertahanan kini sudah mula memberi perhatian serius kepada aspek ini secara lebih terbuka dan inovatif,” katanya ketika berucap melancarkan KPP di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, penggodaman serta serangan siber hasil operasi atau kegiatan yang disebut
‘hacktivist’ adalah sesuatu yang berisiko memberi impak besar kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara.

Malah katanya, ia mampu melumpuhkan aktiviti ekonomi, perjalanan pentadbiran kerajaan, sistem perubatan dan pengangkutan serta banyak lagi impak serius.

Sebagai contoh katanya, pada suku akhir tahun lalu, satu kejadian penggodaman dan kecurian fail dari Pentagon, Amerika Syarikat (AS), yang digelar sebagai ‘insiden besar’, telah melibatkan sehingga lebih 600,000 e-mel dan memberi kesan kepada lebih 2,500 organisasi kerajaan.

“Malah, pada bulan lalu sahaja, satu lagi insiden yang hampir sama turut dilaporkan melibatkan data-data berkaitan dengan ketenteraan AS.

“Insiden-insiden sebegini bukan perkara baharu. Malah, akan terus berlaku. Dalam konteks ini, negara jiran kita sudah mengambil langkah terkehadapan, sehingga menubuhkan Digital and Intelligence Services (DIS) sebagai domain dan ketumbukan baharu yang keempat di bawah Angkatan Tentera Singapura (SAF) pada tahun 2022.

“Dikenali sebagai the guardians of the new frontier, mereka bukan sahaja mempunyai pasukan, uniform dan fokus ketumbukan yang khusus. Malah, pendekatan seperti Digital Work-Learn Scheme dan Cyber Work-Learn Scheme telah diperkenalkan secara terbuka untuk menarik minat lebih ramai mereka yang mempunyai kepandaian dalam bidang komputer termasuklah teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Ini bermakna, ia akan mula menjadi norma untuk pasukan-pasukan angkatan tentera melakukan recruitment process yang mensasarkan golongan seperti hackers atau penggodam sebagai sebahagian anggota pertahanan negara.

“Malah, banyak penganalisis meramalkan yang pertempuran atau pertembungan kuasa akan lebih melibatkan kecanggihan teknologi seperti unmanned drones dan aset yang dikawal secara digital. Semua ini menjadi asas untuk kita melihat secara serius keupayaan teknologi AI, big data dan pendigitalan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button