Berita Semasa

KKM akan bawa cadangan bina hospital ihsan di Tebing Gaza

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan pembinaan sebuah hospital ihsan di Tebing Gaza sebagai salah satu usaha membantu membangunkan semula kawasan tersebut pasca peperangan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, beliau sendiri akan memajukan cadangan itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

“Insya Allah, kita akan bersama-sama majukan dan bantu pembangunan semula Gaza pasca peperangan ini dan berharap semua pihak bersama memastikan kejayaan pembangunan semula Gaza.

“KKM bersedia untuk menyiapkan cadangan itu kerana pastinya ia memerlukan dana, saya akan bentangkan perkembangan ini dalam mesyuarat kabinet akan datang, paling tidak nota jemaah menteri.

“Antara lainnya saya akan menyebutkan agenda MAPIM membangunkan semula Gaza. Saya perlu terangkan secara menyeluruh dan salah satu agendanya adalah pembinaan hospital ihsan yang dicadangkan,” katanya.

Dr. Dzulkefly berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir pada Majlis Makan Malam Amal untuk Gaza anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Hotel Mardiyyah, di sini malam tadi.

Beliau menambah, pihaknya sudah mempunyai senarai pegawai dan kakitangan perubatan yang bakal ditempatkan di sana kelak.

“Jumlah yang tepat belum ditetapkan tetapi memang ada kesediaan kami untuk mendaftarkan doktor doktor kami… mereka sentiasa bersedia untuk dipanggil.

“Senarai sudah ada dalam pangkalan data kami. Keperluan lain, dari sudut kesihatan, kepakaran surgeri lebih kepada pembedahan plastik dan dan yang lain juga akan diperlukan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button