Ops Tapis di Kelantan rampas dadah bernilai RM192,000
KOTA BHARU – Operasi Tapis Khas (OTK) dan Ops Tapis Bersepadu yang dijalan Polis Kelantan baru-baru ini berjaya merampas dadah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM192,114.
Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun berkata, jumlah dadah yang dirampas dalam operasi selama 10 hari yang berakhir pada Rabu lalu itu dianggarkan untuk kegunaan seramai 16,615 penagih.
Katanya, seramai 1,074 orang ditahan sepanjang operasi itu termasuk anggota tentera, remaja berusia 15 tahun dan warga emas berusia 65 tahun.
“Pada Isnin sekitar jam 2.30 pagi, sepasukan anggota dari Balai Polis Kuala Balah, Jeli telah berjaya menahan dua lelaki dalam sebuah kereta jenis Nissan Almera yang sedang berhenti di tepi jalan Kampung Relak, Kuala Balah.
“Salah seorang yang ditahan itu merupakan anggota tentera berusia 26 tahun.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas beg silang milik penjawat awam itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah jenis syabu seberat 2.72 gram, pil yaba (1.72 gram), pil erimin 5 (4.25 gram) dan pil epam (2.27 gram),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, rampasan dadah daripada dua suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine itu dianggarkan bernilai RM600.
Muhamad Zaki memberitahu, salah seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.
“Kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.