Berita Semasa

Kerajaan akan perluas MEKAR Diaspora ke lebih banyak negara

JEDDAH – Kerajaan akan memperluas dan menambah baik Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Diaspora ke seluruh dunia untuk memudahkan urusan berkaitan pendaftaran rakyat Malaysia di luar negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk memberikan khidmat melangkaui kebiasaan itu termasuklah perihal pendaftaran negara yang merupakan asas kepada setiap warga negara.

“Peluasan Program MEKAR Diaspora di luar negara melengkapi aspirasi Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani yang sentiasa meletakkan keutamaan tertinggi kepada kebajikan serta kemakmuran rakyat Malaysia yang tidak hanya terhad di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini sempena penganjuran MEKAR Diaspora oleh JPN ketika lawatannya ke Arab Saudi, baru-baru ini.

Saifuddin bersama rakyat Malaysia sempena penganjuran MEKAR Diaspora oleh JPN ketika lawatannya ke Arab Saudi, baru-baru ini.

MEKAR Diaspora merupakan satu daripada lima kategori Program MEKAR JPN yang menawarkan perkhidmatan dan nasihat berkaitan hal ehwal pendaftaran negara khusus bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara.

Saifuddin berkata, antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah berkaitan urusan kad pengenalan, kelahiran, kematian, warganegara dan sebagainya.

“Kerajaan Perpaduan Malaysia Madani komited untuk memacu terus ke hadapan bagi memastikan aspirasi YAB Perdana Menteri bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat secara holistik dapat digapai secara saksama.

Program MEKAR Diaspora Arab Saudi yang berlangsung dari 1 hingga 6 Februari lalu berjaya menguruskan 240 perkhidmatan dan nasihat berkaitan hal ehwal pendaftaran negara kepada 135 orang rakyat Malaysia yang menetap di Arab Saudi.

Saifuddin beramah mesra dengan kumpulan pelajar semasa penganjuran MEKAR Diaspora oleh JPN ketika lawatannya ke Arab Saudi, baru-baru ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button