Kerajaan pantau majikan ambil pekerja dalam kalangan pelajar sekolah
BANGI – Kerajaan akan melakukan pemantauan secara berkala terhadap majikan yang menawarkan pekerjaan kepada remaja yang masih di peringkat persekolahan bagi mengelak isu keciciran pelajar yang semakin serius.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kecenderungan pelajar untuk memasuki alam pekerjaan demi untuk menampung keperluan keluarga menjadi antara punca utama masalah itu berlaku.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius isu keciciran pelajar terutama di peringkat sekolah menengah yang kini melibatkan 14,506 pelajar yang bersamaan 0.83 peratus.
Dalam hal itu katanya, Kementerian Pendidikan akan melakukan pemantauan berkala terhadap mana-mana majikan yang mengambil pekerja masih bersekolah.
“Cadangan itu adalah untuk memastikan isu keciciran dalam kalangan pelajar sekolah dapat dikawal,” katanya menerusi satu kenyataan yang dibacakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2024, di Putrajaya hari ini.
Pada masa yang sama, Zahid berkata, kerajaan juga bercadang untuk memberi bantuan kewangan kepada murid, memberi kaunseling dan sokongan psikologi kepada pelajar yang terlibat dalam perceraian ibu bapa.
“Tidak dinafikan ada yang kesempitan kewangan sehingga menyebabkan mereka meninggalkan alam persekolahan untuk bekerja demi wang,” katanya.
Sementara itu, kerajaan juga mengumumkan untuk memberi perhatian kepada program-program intervensi sosial untuk menangani masalah sosial.
Selain itu, mesyuarat hari ini turut membincangkan masalah HIV/AIDS di negara ini dan cadangan pelaksanaan program pencegahan, kawalan dan rawatan.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune