Prabakaran dilantik Pengerusi MITRA
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran hari ini diumumkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) berkuat kuasa serta-merta.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Prabakaran adalah bagi menggantikan Datuk R. Ramanan yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pelantikan ini dapat memastikan MITRA terus menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sempurna dalam mengangkat darjat dan sosioekonomi masyarakat India,” kata kenyataan itu, hari ini.
MITRA pada asalnya dikenali sebagai unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC) dan ditubuhkan pada 2014 sebelum dijenamakan semula sebagai MITRA pada 2018.
Unit berkenaan kini diletakkan di bawah seliaan Kementerian Perpaduan Negara.