Jenayah & Mahkamah

Langgar lari anggota polis, pasangan tunang ditahan

IPOH – Pihak polis berjaya menahan psangan tunang yang dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari seorang anggota polis di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 33 tahun dan wanita berusia 34 tahun itu ditahan kurang daripada 24 jam selepas insiden dilaporkan berlaku.

Katanya, kereta Protin Iriz yang digunakan oleh kedua-dua suspek pada hari kejadian turut dirampas polis.

“Bertindak atas maklumat, Polis Daerah Ipoh berjaya menangkap dua suspek berkenaan dan merampas kereta yang digunakan ketika kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau menambah, ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek lelaki positif dadah THC selain semakan mendapati lelaki itu memiliki 17 rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan narkotik, sementara suspek perempuan mempunyai dua rekod kesalahan jenayah.

Katanya, dua suspek berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini untuk permohonan reman.

Laporan media sebelum ini menyebut kejadian langgar lari yang berlaku 7.30 malam itu mengakibatkan anggota polis berusia 34 tahun tersebut cedera parah termasuk mengalami patah rusuk dan bahu.

Show More

Related Articles

Back to top button