Berita Semasa

Kanser jadi punca kematian keempat tertinggi

KUALA LUMPUR – Peningkatan kes kanser kepada 12.6 peratus pada tahun 2022 berbanding 10.5 peratus pada tahun sebelumnya menjadikannya punca keempat tertinggi kematian di negara ini.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan Laporan Fakta Kesihatan Malaysia 2023, kanser menjadi punca tertinggi kematian di hospital swasta meliputi 26.44 peratus dan keempat tertinggi di hospital Kementerian Kesihatan (KKM) (9.29 peratus).

Beliau berkata, data Registri Kanser Malaysia menunjukkan sebanyak 168,822 kes baharu dilaporkan bagi tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021 manakala kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser limfoma dan kanser hati merekodkan kadar insiden tertinggi bagi tempoh berkenaan.

“Kematian yang tinggi ini juga dapat dikaitkan dengan pengesanan penyakit di tahap yang lewat iaitu tahap III dan IV yang tinggi melebihi 60 peratus daripada keseluruhan kanser yang dilaporkan, berdasarkan laporan oleh Registri Kanser Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Kanser Sedunia bertema Close the Care yang berlangsung hari ini.

Sehubungan itu Dr Dzulkefly menyeru rakyat negara ini supaya menyokong usaha KKM mencegah penyakit kanser melalui pemberian vaksin Hepatitis B kepada bayi dan vaksin Papillomavirus Manusia (HPV) yang ditawarkan kepada remaja bawa 13 tahun.

“Jalani saringan kanser bagi tujuan pengesanan lebih awal kerana ia dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup, mengurangkan morbiditi dalam kalangan pesakit kanser dan meningkatkan kualiti hidup pesakit kanser,” katanya.

Dr Dzulkefly juga berkata pihaknya akan memastikan rakyat menerima perkhidmatan komprehensif yang tidak terikat kepada kemampuan termasuk penjagaan kesihatan bagi pesakit kanser.

“Selain itu, misi dalam mempertingkat promosi kesihatan dan pencegahan penyakit termasuk kanser dengan memperkukuh fungsi kesihatan awam akan diteruskan melalui aktiviti promosi serta pencegahan terutama di fasiliti kesihatan primer KKM,” katanya.

Sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini memberi penekanan kepada penjagaan kanser yang memfokus kepada keperluan pesakit secara keseluruhan meliputi kepentingan kesejahteraan fizikal dan psikologi.

Show More

Related Articles

Back to top button