Berita Semasa

Susunan kenderaan terpanjang, Jabatan Wilayah Persekutuan catat nama dalam MBOR

PUTRAJAYA – Jabatan Wilayah Persekutuan hari ini menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Program Susunan Terpanjang Kenderaan @50WP di sini, hari ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud, program yang berjaya mencatat susunan kenderaan terpanjang dengan bendera Wilayah Persekutuan sejauh 3.351 kilometer (km) itu melibatkan penyertaan hampir 644 kereta.

Jelas beliau, pelbagai jenis kenderaan terdiri daripada kenderaan persendirian, kenderaan milik agensi kerajaan dan swasta terlibat pada program yang berlangsung pagi tadi.

“Antara kenderaan yang terlibat dalam rekod ini adalah motosikal, kereta sedan, supercar, motorhome, lori serta bas yang mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan sebagai rasa bangga mengekspresikan rasa cinta serta sayang terhadap Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menerima sijil pengiktirafan MBOR daripada wakil MBOR, Siti Hajar Johor di perkarangan Istana Kehakiman di sini.

Dr. Zaliha Mustafa (kiri) menerima sijil pengiktirafan MBOR daripada wakil MBOR, Siti Hajar Johor.

Mengulas lanjut, Fadlun berkata, kerjasama erat antara agensi kerajaan, swasta dan komuniti Wilayah Persekutuan dalam mencapai misi mencipta rekod di peringkat negara melambangkan kejayaan dan kecemerlangan Wilayah Persekutuan.

“Ini dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan dan perpaduan sejagat.

“Keharmonian dan semangat kebersamaan warga Wilayah Persekutuan yang teguh
dalam memacu pembangunan Wilayah Persekutuan sera melahirkan rakyat Malaysia yang berdaya saing dan maju,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button