Jenayah & Mahkamah

Kekejaman Israel: MAIM-YADIM seru rakyat Malaysia teruskan boikot produk pro-Israel

PUTRAJAYA – Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM-YADIM) membantah keras terhadap jenayah genosid dan perang yang berterusan oleh zionis Israel yang sehingga hari ini sudah menjangkau 121 hari tanpa henti.

Menurutnya dalam satu kenyataan, lebih mendukacitakan walaupun pelbagai bukti dikemukakan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, tindakan barbarik itu terus berlaku.

“Jenayah genosid mengikut undang-undang antarabangsa di Konvensyen Genosid 1948 dianggap ibu segala jenayah.

“Dengan himpunan segala bukti yang terlalu jelas, tindakan barbarik zionis Israel itu melanggar seluruh resolusi dan perundangan dunia masih Berterusan malah semakin meningkat.

“Akibat badan dunia gagal menghukum Israel dengan jenayah genosid, bilangan mangsa di Gaza meningkat sehingga kepada skala paling mengejutkan,” katanya.

Setakat ini, bilangan warga Palestin di Gaza yang maut sudah melebihi 26,500 orang; termasuk 11,000 kanak-kanak dan 7,000 wanita serta lebih 65,000 mangsa tercedera.

Dicampur 8,000 mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan, kes mati kerana kebuluran, termasuk mati kerana kecedaran parah tanpa rawatan serta kerana penyakit.

Dalam pada itu katanya lagi, statistik kematian ini boleh meningkat sehingga kini kepada 40,000 hingga 50,000 orang.

“Seramai lebih 25,000 kanak-kanak Palestin menjadi yatim piatu akibat serangan berterusan Israel di wilayah terkepung itu, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean.

“Kesengsaraan di Gaza terlalu mengerikan. Keganasan Israel atas alasan hak mempertahankan diri sudah tidak boleh diterima.

“Masyarakat antarabangsa telah menyatakan pendirian mengenai kekhuatiran terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa
oleh serangan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat yang semakin parah.

“Pandangan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guteres sendiri menyatakan Gaza kini menjadi “perkuburan kanak-kanak” apabila 95 orang kanak-kanak terbunuh setiap hari,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, semua pihak perlu menyuarakan bantahan secara konsisten terhadap kezaliman itu.

“Kami menyeru para Daie dan Asatizah di negara ini memainkan peranan agar masyarakat di Malaysia faham dan sedar bahawa tanggungjawab agama dan kemanusiaan perlu dilaksanakan untuk
membela warga Palestin yang tertindas.

“Kami mengesa semua pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) meningkatkan gerak kerja mengangkatkan isu Palestin dengan bersungguh.

“Kami menyarankan rakyat dan kerajaan bekerjasama memperkukuhkan pendirian
dan tindakan membela Palestin sehingga tercapai hak dan kemerdekaan negara Palestin yang berdaulat.

“Membantu mangsa keganasan di Gaza untuk mendapat bantuan kemanusiaan yang mendesak; makanan, ubatan, perlindungan, air minuman termasuk membawa pesakit-pesakit yang cedera untuk mendapat rawatan di Malaysia. Kutipan Tabung kemanusiaan untuk Gaza perlu diselaraskan secara telus bagi memastikan bantuan sampai ke Gaza,” katanya.

Sementara itu, katanya, pihaknya juga menyokong tindakan mendakwa Israel ke ICJ dan memastikan hukuman yang
diputuskan dikuatkuasakan serta menggantung keahlian Israel dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,” katanya.

Pada masa sama katanya, kempen memboikot barangan dan perkhidmatan pro-Israel perlu dilancarkan dengan berkesan.

Selain itu katanya, perhimpunan aman perlu diadakan untuk mengembleng masyarakat di Malaysia agar suara bantahan terus diketengahkan tanpa henti ke peringkat antarabangsa.

“Kami juga menggesa badan dunia PBB dan OIC bertindak segera secara berkesan menghentikan peperangan dan menuntut gencatan senjata kekal serta merta bagi mengelak keganasan tentera
penceroboh Israel ke atas Gaza,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button