Berita Semasa

2 pemandu lori maut kemalangan libatkan 7 kenderaan

IPOH – Dua pemandu lori maut dengan seorang daripadanya berkecai dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 288.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berdekatan Kampung Tersusun Tekah, dekat Simpang Pulai di sini pagi tadi.

Mangsa yang maut masing-masing ialah pemandu lori gula pasir dan pemandu lori muatan logam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.46 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai serta BBP Gopeng dikejarkan ke lokasi.

“Pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dan dipercayai meninggal dunia sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Seorang mangsa yang patah tangan dibawa ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Sementara itu, PLUS menerusi laman X memaklumkan semua lorong di kedua-dua arah jalan terhalang kerana tumpahan gula dan serpihan badan lori.

“Trafik tidak bergerak. Sila keluar ke Plaza tol Simpang Pulai (arah ke selatan) dan Plaza tol Gopeng (arah ke utara),” katanya, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button