Berita Semasa

Keluarga Najib kecewa pengampunan hanya separuh

KUALA LUMPUR – Anak perempuan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan kekecewaan terhadap Lembaga Pengampunan yang tidak memberikan pengampunan penuh kepada bapanya.

Nooryana Najwa yang menyifatkan bapanya tidak bersalah sepatutnya diberikan pengampunan penuh dan dibebaskan.

“Walaupun kami hargai pengurangan hukuman 12 tahun kepada 6 tahun setelah pertimbangan dan nasihat, kami kecewa kerana Datuk Seri Najib tidak dapat pengampunan penuh dan dibebaskan serta merta.

“Keputusan yang betul adalah beliau wajar dilepaskan dan dibebaskan.

“Mereka yang ikuti kes SRC secara dekat sudah tentunya tahu dan bersetuju dengan penghakiman Ketua Hakim Sabah dan Sarawak tahun lepas bahawa ketidakadilan yang besar telah berlaku ke atas Datuk Seri Najib,” katanya menerusi laman media sosial, Instagram, hari ini.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri pada petang ini mengumumkan pengurangan hukuman dan denda yang perlu dibayar oleh Najib sebanyak 50 peratus.

Keputusan itu menyaksikan Najib yang sedang menjalani hukuman penjara sejak 2022 bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Najib juga perlu membayar denda yang dikurangkan daripada RM210 juta kepada Rm50 juta.

Show More

Related Articles

Back to top button