Berita Semasa

Muhyiddin lahir kebimbangan IHPR negara berterusan negatif

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan mengenai Indeks Harga Pengeluar Malaysia (IHPR) yang terus merekodkan aliran negatif 1.3 peratus pada Disember 2023 berbanding negatif 1.5 peratus pada November tahun yang sama.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ini bermaksud permintaan dari luar negara amat rendah di bawah paras asas.

Beliau berkata, kesannya pengilang-pengilang domestik yang terjejas terpaksa mengurangkan pengeluaran produk masing-masing.

“Masalah ini ada kaitan dengan kemerosotan pendapatan eksport dan kenaikan kos import yang dipengaruhi sebahagian besar oleh ketidaktentuan pasaran luar negara.

“Saya melihat situasi ini telah menjejaskan golongan pengguna dan peniaga yang pada masa ini sudah dihimpit dan dibebani dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup.

“Golongan peniaga pula masih belum benar-benar dapat keluar daripada fasa pemulihan perniagaan. Sepatutnya pada fasa ini kerajaan perlu mengambil langkah segera dan tindakan luar biasa bagi menangani kemelut yang sedang dihadapi untuk memulihkan kembali perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, keadaan itu juga dijangka menyebabkan pengeluar mengehadkan input pengeluaran seperti tempoh masa kerja, bahan mentah dan seluruh rantaian kilang.

“Sekiranya aliran negatif IHPR berterusan disebabkan permintaan yang menurun, pengeluar mungkin mengambil tindakan mengurangkan jumlah pekerja.

“Ini akan memberi kesan besar kepada ekonomi negara terutamanya masalah pengangguran dan kehilangan punca pendapatan individu yang akan mengusutkan lagi isu beban kos sara hidup yang sedang ditanggung oleh rakyat pada masa ini.

“Saya khuatir dalam keadaan para pengguna yang sudah pun terbeban dengan segala bentuk kenaikan harga bahan makanan dan barangan keperluan, tarif elektrik, beberapa jenis cukai perkhidmatan, tambang bas sekolah serta ubat-ubatan sejak lebih setahun lalu, realiti ini akan memburukkan lagi keadaan ekonomi negara,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button