
Kerajaan negeri Selangor peruntuk RM85,000 untuk persatuan ibu tunggal laksana program usahawan
SHAH ALAM – Sebanyak RM85,000 diperuntukan oleh Kerajaan Negeri Selangor menerusi pemberian Geran Mekar Kasih 2024 bagi menyokong program usahawan dan meningkatkan kemahiran golongan ibu tunggal di negeri ini.
Menurut Exco Pembangunan Wanita, Anfaal Saari, bagi memastikan inisiatif pembangunan golongan itu dapat direalisasikan, sebanyak 17 persatuan ibu tunggal telah dipilih untuk menerima geran berkenaan.
“Kerajaan Negeri Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) mempertuntukan geran Mekar Kasih 2024 sebanyak RM5,000 bagi melaksanakan program-program pembangunan kapasiti dan kemahiran melibatkan golongan ibu tunggal.
“Geran tersebut mampu memberikan bantuan dan sokongan menghadapi cabaran hidup bagi meningkatkan kesejahteraan, kemandirian dan kemampuan mereka dalam aspek sosioekonomi dan emosi.
“Bantuan ini diharap dapat memberi peluang pendidikan, latihan dan memberi nilai keusahawanan kepada ibu tunggal yang berminat untuk meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga,” katanya.
Penyerahan geran tersebut diadakan pada Majlis HI-TEA Jalinan Kasih dan Bicara Santai Bersama Anfaal Saari di Hotel Mardhiyyah, di sini semalam.
Majlis yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita Dan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor (WBS) itu berjaya membincangkan pelbagai isu berkaitan hak wanita.
Menurut WBS, majlis yang diadakan buat julung kalinya itu, mampu memperluaskan jaringan Persatuan Ibu Tunggal bersama Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita dari seluruh negeri Selangor.
“Pertemuan ini juga bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara NGO wanita di Selangor dan Kerajaan Negeri dalam usaha-usaha memperbaiki status sosio-ekonomi wanita di negeri ini.
“Selain itu, pertemuan ini juga membuka ruang dan peluang untuk mendengar pandangan dan cadangan Anfaal Saari sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai dasar-dasar dan program-program yang berkaitan dengan pembangunan wanita,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |