Berita Semasa

Pemerintahan Seri Paduka akan tetap dikenang rakyat Malaysia – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan tetap dikenang rakyat Malaysia yang mendapat limpahan keamanan dan kesejahteraan sepanjang lima tahun pemerintahan baginda.

“Menjunjung kasih KDYMM Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

GAMBAR IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

“Pemerintahan Tuanku yang merakyat disulam hikmah keadilan serta kebijaksanaan tentunya dikenang rakyat keseluruhannya yang menikmati limpahan keamanan dan kesejahteraan sepanjang tempoh baginda bersemayam di atas takhta selama lima tahun,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Anwar turut berkata, kewibawaan Seri Paduka turut terserlah sehingga berjaya merungkai kemelut politik negara dan menggagaskan sebuah Kerajaan Perpaduan.

“Ia membugar kestabilan dan memungkinkan usaha kita untuk mengangkat semula darjat dan martabat negara ini ke tingkat tertinggi,” katanya lagi.

Hari ini, Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara bermula 31 Januari 2019.

Esok, tampuk pemerintahan negara bakal mencatat era baharu di bawah pemerintahan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang akan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara.

Show More

Related Articles

Back to top button