
MFL beri kebenaran ‘pasukan terpilih’ daftar 10 pemain import
KUALA LUMPUR – Beberapa pasukan terpilih dibenarkan untuk mendaftarkan sehingga 10 pemain import bagi musim 2024/2025, umum Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini.
Menurut MFL, keistimewaan tersebut hanya terpakai untuk pasukan yang beraksi di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), ACL2 dan pertandingan kelab Asean (AFF) sahaja.
Kata MFL, kuota sembilan import dalam pendaftaran Liga Malaysia (Liga M) masih dikekalkan bagi musim 2024/25 dan ‘keistimewaan’ membabitkan tambahan satu pemain import hanya bagi pasukan yang beraksi di pertandingan luar negara.
MFL juga turut bersetuju untuk menambah kuota seorang pemain import di atas padang untuk musim 2024-2025 selepas menerima permintaan dari beberapa pasukan.
“Ini bermakna kuota musim 2024-2025 yang dipersetujui semua pasukan adalah enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia)+1 (Asean) dibenarkan berada di atas padang pada satu-satu masa dengan seorang pemain di bangku simpanan.
“Walaupun MFL menerima permintaan kelab Liga M, semua kelab diingatkan agar mengambil pemain import mengikut kesesuaian percaturan serta kemampuan kewangan masing-masing,” kata MFL dalam kenyataan itu.
Sebagai rekod, Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku juara Liga Super akan beraksi di ACLE sementara Selangor FC (SFC) akan berentap di ACL2 sebagai naib juara Liga Super.
Bagi pertandingan kelab Asean (AFF), MFL menerusi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencadangkan pasukan di tangga ketiga dan keempat di Liga Super musim lalu iaitu Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC akan bersaing dalam kejohanan tersebut.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune