Berita SemasaUncategorized

Tuah pajak emas di CBP, suri rumah bawa pulang BMW

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah tidak menyangka permulaan menggunakan perkhidmatan gadaian emas Ar-Rahnu di Co-opbank Pertama (CBP) membawa tuah apabila terpilih sebagai pemenang utama Kempen Hello CBP 2023.

Dengan kemenangan itu, Norfazla Idris, 26, membawa pulang kereta BMW 2 Series Coupe218-i yang bernilai lebih RM200,000.

Katanya, dia langsung tidak mengimpikan sebarang ganjaran daripada pembiayaan itu apatah lagi baru sahaja beberapa bulan menjadi pelanggan CBP.

Bahkan panggilan daripada pihak bank yang memaklumkan dirinya terpilih sebagai salah seorang daripada pemenang disangkakan cubaan menipu oleh scammer.

“Empat hari lepas mereka hubungi saya dan minta butiran peribadi saya. Saya rasa mereka scammer dan terus putuskan perbualan.

“Sehari kemudian wakil daripada CBP hubungi saya dan memberi maklumat termasuk mengundang saya untuk hadir pada majlis hari ini.

“Ketika itu saya tidak tahu pun apa hadiah yang ditawarkan, sehingga diumum sebagai pemenang utama hari ini,” kata ibu kepada dua anak yang tinggal di Setapak itu.

Norfazla Idris

Norfazla ditemui selepas pelancaran Kempen Hello CBP 2024 & Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Hello CBP di Hotel Concorde, yang disempurnakan oleh Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi, petang tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi CBP, Nor Hidayah Omar; Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, barisan pengurusan tertinggi CBP dan pemenang cabutan Hello CBP 2023.

Norfazla berkata, dia menggunakan khidmat cagaran emas Ar-Rahnu CBP untuk mendapatkan nilai pembiayaan yang tinggi dan patuh Syariah selepas diperkenalkan oleh adiknya.

Katanya, dia tidak bercadang untuk menjual hadiah kemenangan itu dan menyifatkannya sebagai rezeki atau tuah daripada anaknya yang baharu berusia lapan bulan.

“Saya tidak pernah menang apa-apa peraduan sebelum ini. Jadi ini saya anggap sebagai rezeki untuk kami sekeluarga memiliki kereta BMW. Hadiah ini untuk anak-anak saya,” katanya.

Kempen Hello CBP 2023 menawarkan hadiah utama berupa sebuah kereta BMW 2 Series Coupe218-i, hadiah pertama sebuah motosikal BMW GS310 dan pelbagai hadiah saguhati berupa pakej percutian bernilai RM5,000.

Pada majlis yang sama, CBP melancarkan Kempen Hello CBP 2024 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM1.5 juta bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember tahun ini.

Kempen terbaru ini menawarkan empat hadiah utama berupa Proton S70, empat motosikal Suzuki Gixxer 250, pakej umrah dan pelbagai hadiah menarik yang lain.

 

Show More

Related Articles

Back to top button