Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Daim lebih risau masa depan negara

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menegaskan tuduhan yang dikenakan ke atas beliau hanya bersifat politik.

Daim, 85, berkata, dirinya tidak bersalah dan ‘tidak sabar’ menunggu hari perbicaraan.

“Dalam usia yang lanjut, di mana saya tidak lagi mempunyai kekuatan seperti dulu, keyakinan saya tetap tidak goyah.

“Saya tidak peduli sangat nasib saya, biarlah Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) melemparkan segala-galanya terhadap saya.

“Tetapi saya khuatir nasib negara saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Daim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan gagal mengisytiharkan harta.

Mengikut pertuduhan, Daim didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal mengisytiharkan harta.

Beliau didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan terhadap 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang serta enam hartanah.

Selain itu, beliau juga gagal mengisytiharkan pemilikan terhadap akaun Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Berhad (ASB) dan tujuh kereta mewah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000.

Dalam kenyataannya, Daim turut memetik
petikan surah al-Nur yang ditujukan kepada Anwar:

“Kepada sahabat lama saya, Anwar Ibrahim, ingatlah akan firman Allah SWT dalam Surah al-Nur, bahawa mereka yang menyebarkan fitnah keji di kalangan orang-orang mukmin akan mendapat balasan pedih di dunia dan akhirat. Dan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang tidak kamu ketahui,” katanya dalam kenyataan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button