Berita SemasaPM X

PM zahir keyakinan lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang sokong Kerajaan Perpaduan

IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa lebih ramai lagi Ahli Parlimen Pembangkang akan menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinanya.

Menurut Anwar yang juga yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), peningkatan sokongan berkenaan adalah susulan daripada kepercayaan Ahli Parlimen pembangkang semakin terhakis terhadap pucuk pimpinan mereka.

“Saya percaya melalui tanda-tanda yang boleh diyakini, ramai lagi ahli-ahli Parlimen yang akan terhakis keyakinan mereka dengan janji palsu yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) dengan tujuan dan matlamat ‘tebuk atap’, walaupun sebelum ini saya sudah menjawab berkenaannya,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian penutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gantang,
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, mendedahkan sepuluh lagi Ahli Parlimen pembangkang akan mengumumkan sokongan terhadap kerajaan.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen keenam dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Syed Abu Hussin.

Show More

Related Articles

Back to top button