Berita Semasa

Cemar alam sekitar, MPSepang kompaun empat bengkel

CYBERJAYA – Empat buah bengkel dikenakan tindakan kerana melakukan aktiviti yang mencemar alam sekitar.

Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berkata, hasil tindakan penguatkuasaan yang dijalankan pada 23 Januari lalu, bengkel yang terletak di sekitar kawasan Kampung Baru, Sungai Pelek, Meranti Permai, dan Putra Perdana itu dikenakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan, dan Pelupusan Sampah Sarap (Majlis Perbandaran Sepang) 2007.

“Jabatan Kesihatan Persekitaran MPSepang telah mula melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan kepada bengkel kenderaan di daerah Sepang bagi memastikan tiada sebarang pelepasan sisa effluen yang terdiri daripada bahan buangan terjadual seperti minyak hidraulik, minyak hitam terpakai dan lain-lain daripada memasuki longkang awam.

“Kesalahan adalah tidak menyediakan tong sampah di premis, kesalahan membuang sisa industri atau buangan perdagangan di tempat yang tidak dibenarkan oleh pihak Majlis, menyebabkan pelepasan effluen yang tidak dibenarkan oleh pihak Majlis dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling,” kata MPSepang dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, semalam.

Related Articles

Tindakan dilaksanakan setelah pemantauan dan teguran secara notis bertulis telah dijalankan bermula tahun 2023, dan pemilik bengkel telah diberikan tempoh bersesuaian yang secukupnya.

“Kadar kompaun maksima bagi semua kesalahan adalah RM1000.

“Tindakan ini adalah penting bagi memastikan pemilik premis bengkel mengurus sisa pepejal industri atau dagangan dengan baik dan tiada sebarang effluen bahan buangan terjadual dilepaskan ke longkang awam yang akan menyebabkan pencemaran alam sekitar,” kata MPSepang lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button