Intan Sarah tunggu Pan Gon di KLIA untuk mohon maaf
KUALA LUMPUR – Selepas teruk dikecam netizen gara-gara menulis kenyataan tidak sopan akhirnya pemain bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli bersemuka dengan pengendali Harimau Malaya Kim Pan Gon untuk memohon maaf.
Intan Sarah dipercayai berjumpa dengan Pan Gon di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Qatar, malam tadi.
Menerusi laman sosial pemain wanita negara itu, dia tampil memohon maaf atas kritikan yang dibuat olehnya terhadap Pan Gon dan mengakui tindakannya itu adalah disebabkan emosi yang tidak dapat dikawal olehnya.
“Ia adalah emosi semasa perlawanan, maaf tentang apa yang telah saya perkatakan. Saya akui salah saya dan saya hormati semua orang terutamanya pemain dan jurulatih KPG (Kim Pan Gon). Selamat maju jaya untuk perlawanan seterusnya,” kata Intan Sarah memetik laporan Berita Harian, hari ini.
Sebelum itu, Intan Sarah dihujani kritikan peminat bola sepak tempatan apabila dia mempertikaikan pemilihan pemain gantian oleh Pan Gon dalam aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 berdepan Korea Selatan.
Intan Serah difahamkan menginginkan penyerang sensasi, Safawi Rasid untuk dimasukkan sebagai pemain gantian dan mempertikaikan tindakan Pan Gon yang membawa masuk Romel Morales pada penghujung babak permainan.
“Another stupid sub from KPG (Kim Pan Gon), masukkan lah Pawi (Safawi),” tulis Intan Sarah di laman sosial miliknya.
Namun, percaturan Pan Gon membuahkan hasil dan menafikan pendapat Intan Sarah apabila Morales tidak membuang masa mencetak jaringan pada babak masa kecederaan dan golnya membantu Malaysia meraih satu mata berharga.
Kritikan yang dibuat oleh Intan Sarah itu mencuri tumpuan penyokong tanah air apabila terdapat peminat yang tidak bersetuju dan mengecam tindakan pemain wanita kebangsaan itu.