Berita Semasa

Syarikat telco diarah tambah baik perkhidmatan di Melaka – SKMM

MELAKA – Semua penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (telco) diarahkan untuk menambah baik perkhidmatan mereka dengan segera di Melaka.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan, arahan itu dikeluarkan selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melakukan Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di negeri itu hari ini.

“Ujian dilakukan di Melaka River Cruise, sebuah lokasi yang sinonim sebagai tarikan pelancong. Program ini melibatkan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (telco) iaitu CelcomDigi, Maxis, Unifi Mobile (TM), YES (YTL) dan U Mobile yang turut disertai oleh pihak media.

“Sepanjang ujian dilakukan menggunakan laluan perjalanan Jeti Hotel Casa Del Rio –
Taman Pengkalan Rama – Jeti Hotel Casa Del Rio, lima panggilan terputus telah
direkodkan.

“Sehubungan dengan tu, pihak penyedia perkhidmatan yang berkaitan telah diminta untuk mengambil tindakan segera dan seterusnya melaporkan kerja-kerja penambahbaikan yang dilaksanakan kepada Kementerian Komunikasi menerusi SKMM,” katanya hari ini.

Yang hadir sama dalam ujian itu ialah EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ketua Bahagian Koordinasi Negeri SKMM, Bukhari Yahya dan wakil penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih

Dalam pada itu, menurut SKMM, ujian kelajuan muat turun jalur lebar tanpa wayar juga telah dijalankan sepanjang laluan tersebut dan secara purata mencatatkan lebih 100Mbps bagi kesemua penyedia perkhidmatan.

Katanya, ujian ini merupakan yang kedua selepas sesi pertama diadakan di ibu negara melibatkan perjalanan dari Bangunan Parlimen ke Kementerian Komunikasi Putrajaya pada 9 Januari lalu.

“Seiring dengan inisiatif Kerajaan Negeri Melaka yang giat dalam penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024, sesi ujian ini adalah tepat pada masanya bagi memastikan aktiviti pelancongan berjalan lancar dengan peningkatan kualiti perkhidmatan selular di Melaka, khususnya di lokasi tarikan pelancong.

“SKMM akan terus memantau perkara ini sepanjang suku pertama tahun 2024 dan
akan mengemukakan laporan kepada Kementerian Komunikasi,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button