Berita Semasa

Mangsa kedua tanah runtuh Cameron Highlands ditemukan

CAMERON HIGHLANDS -Satu lagi mayat mangsa tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley di sini ditemukan pada jam 12.05 tengah hari tadi menurut laporan Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli, berkata mayat lelaki itu dijumpai tertimbus pada kedalaman dua meter dan terletak kira-kira 10 meter daripada tapak asal rumah kongsi bagi pekerja di kawasan kebun sayur di situ.

Azri berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menghadapi cabaran mencari mangsa kerana kawasan itu turut mengalami beberapa lagi runtuhan tanah di sepanjang jalan kecil yang menghubungkan antara Pusat Kawalan Bomba (PKB) dengan lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati jalan untuk ke tempat kejadian telah terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda (4X4) untuk ke sana. Tetapi (sekarang) menaiki kenderaan 4×4 pun tak boleh lalu sebab ada beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku sepanjang perjalanan untuk ke tempat kejadian,” katanya pada sidang media di PKB di sini, hari ini.

Hadir sama, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor.

Terdahulu, BH melaporkan seorang lelaki maut manakala empat lagi dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh di Batu 54, jam 2.51 pagi tadi, dengan kesemua lima mangsa itu dikenal pasti warga Myanmar.

Mangsa pertama ditemui dikenali sebagai Haphey, 36, yang ditemui maut tertimbus jam 3 pagi.

Runtuhan di kawasan kebun sayur itu membabitkan ketinggian 80 meter dari kaki bukit dengan tapak lokasi rumah pekerja yang tertimbus berada pada kedudukan 40 meter dari kaki bukit. Anggaran kecerunan bukit runtuhan adalah antara 35 hingga 40 darjah.

Kata Azri lagi, kesukaran operasi menyelamat juga disebabkan tidak dapat membawa jentera berat untuk ke lokasi terbabit, selain faktor cuaca yang masih hujan hingga mengundang risiko runtuhan susulan.

“Walaupun cuaca hujan dan bimbang akan berlaku tanah runtuh lagi, operasi sehingga kini tetap diteruskan dalam keadaan pasukan yang sentiasa mengambil langkah waspada dan berjaga-jaga sekiranya berlaku lagi runtuhan kali kedua (susulan),” katanya.

Sementara itu, Abdul Ismail berkata, pencarian mangsa dibahagikan kepada empat sektor membabitkan keluasan sepanjang 50 meter, dengan tumpuan mencari mangsa diberikan di sektor B dan C di kawasan sepanjang kira-kira 25 meter yang berada di sektor zon tengah.

“Terdapat dua rumah pekerja yang terbabit dalam runtuhan itu, di mana mangsa pertama dijumpai di sektor C manakala mangsa kedua ditemui di sektor B. Berdasarkan skala itu fokus pencariannya lebih kepada sektor B dan C,” katanya.

Operasi pencarian dilakukan dengan kekuatan seramai 120 orang terdiri dari pelbagai agensi dan juga termasuk 20 rakan mangsa yang turut bekerja di kebun berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button