Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2024 sasar jualan RM20 juta, tawar hadiah lebih RM250,000

KUALA LUMPUR – Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2024 (ABXGR24), satu festival raya terbesar yang kini telah memasuki tahun ketiga penganjurannya menetapkan sasaran jualan sebanyak RM20 juta pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif My Events International, Hemma Candy, berkata sasaran tersebut boleh dicapai susulan sambutan yang menggalakkan dengan 2.9 juta pengunjung direkodkan sepanjang dua tahun lalu.

Kata Hemma, acara yang berlangsung selama 66 jam tanpa henti bermula 29 Mac hingga 1 April depan itu bakal menawarkan pengalaman membeli belah yang selesa buat pengunjung menjelang Aidilfitri.

“Apa yang para pengunjung boleh dapat adalah tempat membeli-belah yang selesa di tiga buah dewan di dalam Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

“Ada yang datang cuma mahu tengok konsert bila dia balik tangan kosong tapi kami gembira kerana mereka sanggup datang untuk sertai acara kami dan menjadi sebahagian daripada hiburan yang kami sediakan,” katanya dalam satu sidang media di sini baru-baru ini

Ketua Pegawai Eksekutif My Events International, Hemma Candy (kiri) bersama Penganjur ABXGR24, Ben Ali (kanan) pada sidang media pra pelancaran ABXGR24 di ibu negara baru-baru ini.

Yang hadir sama, Penganjur ABXGR24, Nur Ali Nadzwan atau lebih dikenali sebagai Ben Ali.

Mengulas lanjut, Hemma berkata, antara aktiviti menarik yang menawarkan lebih daripada RM250,000 nilai ganjaran keseluruhan termasuk Money Chamber, Wheel of Fortune, Hamper Raya, dan Happy Hour.

“Apa yang kami janjikan, kami akan buat. Kalau kita kata kita ada hamper RM120,000, kita akan bagi RM120,000 dan ada pemenangnya sampai menangis atas pentas (pada acara tahun lalu),” katanya.

Jelasnya, pihak penganjur menyasarkan sebanyak 720 tapak reruai dibuka khusus bagi jualan pakaian, kecantikan, makanan serta barangan elektrik dan elektronik.

“Tarikan utama adalah mini Absolut FoodFest yang dianggarkan melebihi 80 vendor yang akan menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman untuk berbuka puasa atau bersahur, menjadikan ABXFGR24 destinasi ideal untuk keluarga dan rakan-rakan berkumpul,” katanya lagi.

Dalam pada itu, selain di ibu negara, My Events International mengumumkan bakal mengadakan ABXFGR24 di Johor seminggu sebelum acara di Kuala Lumpur iaitu pada 22-24 Mac.

Sebagai rekod, penaja bersama acara ini terdiri daripada Wardah, Hermo, NIMS, Minaz, Buttonscarves, Panasonic, Ainaa, Sugar Bomb, Super Sky, Kunafa Aiwahhh dan Bulan Bintang.

Show More

Related Articles

Back to top button