Berita SemasaPolitik

10 lagi Ahli Parlimen Bersatu sokong PM – Syed Abu Hussin

PUCHONG – Sepuluh lagi Ahli Parlimen pembangkang akan mengumumkan sokongan terhadap Kerjaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dedah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Tanpa menamakan nama Ahli Parlimen tersebut, Syed Abu Hussin memberi bayangan lima adalah dari Utara, iaitu Kedah, Pulau Pinang dan Perak manakala tiga dari kawasan timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Jelas beliau lagi, seorang dari kawasan tengah iaitu Melaka dan baki satu lagi Ahli Parlimen dari Selangor.

Katanya, Ahli Parlimen berkenaan sedang menunggu waktu yang sesuai dan dijangka akan mengumumkan sokongan tersebut dalam masa terdekat.

“Mereka (Ahli Parlimen Bersatu) sedang berfikir. Saya tidak tahu (bila). Dijangka menjelang sesi Parlimen pada 28 Februari ini dan sidang Parlimen akan berjalan satu bulan,” katanya selepas ditanya bilakah pengumuman tersebut akan dibuat.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Rabu lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen keenam dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.

Sokongan itu bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Syed Abu Hussin sendiri.

Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin turut menyeru Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee; Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid untuk turut sama menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Malah, beliau turut menyeru seluruh Ahli Parlimen Bersatu untuk menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri pada masa yang sama menjalankan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Dalam sidang media yang sama, Syed Abu turut berpandangan Pas akan meminggirkan Besatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.

Justeru, Syed Abu menggesa Ahli Parlimen Bersatu untuk membuat keputusan dengan kadar segara.

“Pas tidak akan bergabung dengan Bersatu dalam PRU16 akan datang jadi Bersatu kena bersedia, maka ahli Bersatu digalakkan secara berkelompok menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button