Berita Semasa

LHDN lancar Program Memfail Borang Nyata Cukai Keuntungan Modal di portalnya

CYBERJAYA – Mulai 1 Januari 2024, semua syarikat, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan koperasi yang menerima laba atau keuntungan daripada pelupusan aset modal adalah tertakluk kepada Cukai Keuntungan Modal (CKM) di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan hari ini berkata, keuntungan daripada jualan saham syarikat tidak tersenarai yang diperbadankan di Malaysia; atau saham syarikat terkawal diperbadankan di luar Malaysia yang memiliki harta tanah yang terletak di Malaysia atau saham syarikat terkawal lain atau kedua-duanya perlu diisytihar dan dijelaskan cukai dalam tempoh 60 hari dari tarikh pelupusan aset modal.

“Entiti Labuan (Syarikat Labuan, Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan, Yayasan dan Amanah Labuan) yang memilih atau tertakluk kepada pengenaan cukai di bawah ACP 1967 adalah juga tertakluk kepada pengenaan CKM,” kata LHDN.

Bagaimanapun, jelas LHDN, pelupusan aset modal tersebut bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 29 Februari 2024 adalah dikecualikan cukai dan TIDAK tertakluk kepada pengemukaan Borang Nyata Cukai Keuntungan Modal (BNCKM).

Sehubungan dengan tarikh berkuatkuasa pengemukaan BNCKM bermula 1 Mac 2024 nanti, LHDN memaklumkan bahawa portal Program Memfail BNCKM sudah dimuat naik di portalnya dan boleh diakses menerusi langkah ini:

1 – Layari Portal Rasmi LHDN
2 – Klik menu Borang > Program Memfail Borang Nyata CKM
3 – Atau menerusi capaian pantas di pautan ini dan ini.

Orang ramai diingatkan bahawa pelaporan CKM adalah mandatori melalui medium elektronik e-CKM.

Pembayar cukai atau ejen cukai berlesen yang dilantik boleh mengakses e-CKM melalui portal MyTax.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau ingin memberi maklum balas boleh menghubungi LHDN menerusi Contact Centre di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara); HASiL Live Chat; dan juga menerusi Borang Maklum Balas di Portal Rasmi LHDN,” kata LHDN lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button