Berita Semasa

Lantikan penjawat awam secara kontrak satu langkah sementara – JPA

CYBERJAYA – Lantikan penjawat awam secara kontrak bermula 1 Februari ini merupakan satu langkah sementara sementara menunggu pelaksanaan kaedah baharu lantikan tetap yang melibatkan pindaan akta berkaitan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pegawai menerusi lantikan kontrak (interim) itu akan dilantik secara tetap menerusi kaedah baharu di bawah sistem saraan perkhidmatan awam selepas ia dimuktamadkan kelak.

“Kerajaan pada 12 Julai 2023 telah memutuskan suatu kaedah baharu bagi lantikan tetap pegawai awam diperkenal ke arah mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam. Keputusan ini diambil adalah bagi memastikan kemampanan kewangan kerajaan bagi jangka masa panjang,” kata JPA dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, lantikan ke jawatan tetap itu masih tertakluk kepada prestasi dan perakuan ketua jabatan selanjutnya.

“Pelantikan ini adalah berdasarkan peraturan dan dasar semasa yang berkuat kuasa iaitu Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Urusan Perkhidmatan (UP) termasuk penetapan gaji dan kemudahan.

“Semoga penambahbaikan terhadap sistem saraan perkhidmatan awam ini dapat memacu kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam serta menjaga kebajikan penjawat awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” kata kenyataan itu lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button