Berita Semasa

Kertas siasatan Tun M dijangka siap tidak lama lagi

JOHOR BAHRU – Kertas siasatan berhubung bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung masyarakat India dijangka siap tidak lama lagi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan berkenaan kemudian akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

“Semalam kita sudah ambil percakapan Tun Dr Mahathir dan siasatan diteruskan. Dalam masa tiga hingga empat hari lagi, mungkin kertas siasatan akan dirujuk kepada Peguam Negara selepas siasatan kita selesai,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor sempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Johor.

Dalam pada itu, Razarudin menafikan dakwaan Dr Mahathir bahawa beliau seolah-olah diperlakukan seperti ‘penjenayah’ selepas lebih 10 kali disoal siasat oleh polis sejak beberapa tahun lalu.

“Di pihak polis, kita tetap teruskan siasatan. Kalau siasatan tidak lengkap, maksudnya polis berat sebelah. Sebab itu polis rakam percakapan.

“Kalau tidak di Bukit Aman, rakaman percakapan diambil di tempat yang sesuai sebagaimana yang Tun Mahathir mohon,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir dalam satu sidang akhbar mendakwa, boleh dikatakan beliau pasti akan disiasat setiap kali mengeluarkan kenyataan, sedangkan ada pihak lain yang mengeluarkan kenyataan perkauman tidak disiasat.

Sebelum mengadakan sidang tersebut, Dr Mahathir terlebih dahulu memberi keterangan kepada tiga anggota polis di bangunan yayasan itu pada kira-kira pukul 4 petang.

Show More

Related Articles

Back to top button