Berita Semasa

‘PM tak pernah arah SPRM siasat Tun M’

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi tidak pernah mengarahkan siasatan dilakukan terhadap mana-mana individu bergelar ‘Tun’ termasuk ahli keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam masa yang sama turut menafikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan keluarga bekas Perdana Menteri dua kali itu bermotifkan balas dendam.

“Kerajaan Perpaduan tidak mencampuri sebarang siasatan SPRM.

“Semua siasatan berlandaskan undang-undang dan semua ini bukan politik dendam seperti yang didakwa Dr Mahathir,” tegas Fahmi.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas dakwaan Dr Mahathir bahawa siasatan SPRM yang dijalankan ke atas keluarganya bermotifkan dendam politik.

Meskipun kerajaan tidak pernah mencampuri urusan SPRM, kerajaan berhak meneliti perkara yang melibatkan wang rakyat.

Semalam, Dr Mahathir dalam satu sidang akhbar khas mendakwa tujuan SPRM menyiasat anaknya, Mirzan adalah untuk pengumpulan bukti bagi mendakwanya di mahkamah.

“PM (Anwar) juga sudah banyak kali cakap ‘nothing personal about it’. Jika ada sebarang perkara yang melibatkan harta wang ringgit rakyat, kerajaan ada hak untuk teliti perkara itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut dinasihatkan supaya sentiasa muhasabah diri dan tidak mengeluarkan kenyataan yang sengaja boleh menakutkan rakyat.

Fahmi berkata, negarawan itu juga tidak seharusnya mencabar Anwar mengadakan pilihan raya.

“Tun M pada pilihan raya tahun lepas hilang deposit di Parlimen Langkawi dan Anwar menang di Tambun.

“Jadi sebagai negarawan, beliau harus muhasabah dan harus meninggalkan satu legasi yang murni,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button