Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Isteri Tun Daim mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin iaitu Tun Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan gagal mengisytiharkan harta, Disember tahun lalu.

Na’imah membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Azura Alwi sejurus pertuduhan dibacakan pagi tadi.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal mengisytiharkan harta.

Beliau didakwa dengan sengaja memberikan pernyataan bertulis secara bersumpah bertarikh 8 November 2023 tanpa mematuhi terma notis yang dinyatakan di bawah Seksyen 36(1)(b) akta itu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon supaya tertuduh diikat jamin RM500,000 berserta syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri di ibu pejabat SPRM sekali pada setiap bulan.

Walau bagaimanapun, peguam mewakili Na’imah, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden memohon supaya jumlah ikat jamin dikurangkan selain membantah syarat tambahan penyerahan pasport tersebut.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 dan membenarkan syarat tambahan.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 22 Mac depan.

Show More

Related Articles

Back to top button