Jenayah & Mahkamah

Serbuan dadah: Lelaki Nigeria jatuh dari tingkat 16

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga asing maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium di Batu Uban di sini ketika cuba melarikan diri selepas kediamannya diserbu polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang membuat serbuan di unit berkenaan.

Razlam berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah dilakukan di situ.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki warga Nigeria telah membuka pintu dan bertindak menutup dan mengunci semula pintu rumah selepas menyedari kehadiran polis.

Bagaimanapun katanya, selepas rumah itu dipecah masuk oleh polis, lelaki berkenaan didapati tiada dalam rumah dan pemeriksaan di kawasan keliling menemui seorang mayat di tingkat bawah.

“Pemeriksaan di sekitar bangunan terbabit mendapati terdapat sekujur tubuh terbaring di tingkat bawah dipercayai lelaki yang membuka pintu tadi.

“Seorang lagi rakan mereka berjaya ditangkap ketika cuba melarikan diri di tingkat lapan kondominium terbabit,” katanya kepada pemberita.

Dalam serbuan itu, polis menemui dan merampas sejumlah dadah jenis ektasi dan syabu di rumah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala kes suspek mati akibat jatuh dari kondominium terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button