Berita Semasa

Dakwaan produk, aktiviti Quantum Metal diluluskan, dilesenkan BNM tidak benar – Bank Negara

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa produk dan aktiviti Quantum Metal Sdn. Bhd. (QMSB) diluluskan dan dilesenkan oleh Bank Negara (BNM), secara langsung atau tidak langsung, adalah tidak benar.

BNM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, QMSB adalah sebuah institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Anti-Money Laundering, Anti-Terrorism Financing and Proceeds of Unlawful Activities Act 2001, AMLA).

“QMSB berurusan dengan logam atau batu berharga, iaitu aktiviti yang disenaraikan sebagai perkara 24 di bawah Bahagian 1 dalam Jadual Pertama AMLA bersama-sama dengan sektor perniagaan dan profesion bukan kewangan yang ditentukan yang lain seperti peguam, akauntan, syarikat amanah dan setiausaha syarikat.

“Bagaimanapun, dengan status QMSB sebagai institusi pelapor tidak bermakna produk dan aktiviti perniagaannya, seperti produk dan dagangan emas, adalah didaftarkan, diluluskan atau dilesenkan di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM,” kata BNM dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Sebagai sebuah institusi pelapor, QMSB dikehendaki melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi tersebut daripada disalahguna sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan.

Dalam kenyatan yang sama, BNM turut berkata, pihaknya maklum mengenai pelbagai dakwaan menerusi media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung dengan AMLA.

BNM ingin menjelaskan bahawa sebarang aliran masuk dana ke dalam negara, kecuali untuk tujuan peminjaman luar pesisir yang melebihi had tertentu yang diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing, tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada BNM terlebih dahulu.

“Tiada sesiapa pun yang boleh menyalahgunakan nama dan urusan surat-menyurat BNM sehingga boleh mengundang salah faham bahawa produk atau perkhidmatan mereka diluluskan oleh BNM.

“Dakwaan mempunyai kaitan dengan BNM oleh mana-mana entiti atau individu tidak seharusnya dijadikan satu-satunya pertimbangan bagi menentukan kesahihan perniagaan tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada apabila membuat sebarang keputusan pelaburan, dan sebarang aktiviti kewangan yang disyaki dilakukan tanpa kebenaran hendaklah dilaporkan kepada pihak penguatkuasa undang-undang yang berkaitan.

Show More

Related Articles

Back to top button