Berita Semasa

Ulang tahun ke-150 Taiping disambut meriah

TAIPING – Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping diadakan dengan penuh meriah di Dataran Warisan di sini.

Majlis perasmian itu dirasmikan oleh Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dengan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching dan Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.

Saarani berkata, pembangunan warisan sejarah seharusnya menggalakkan penyelidikan, pemuliharaan dan pengembangan warisan kerana ia sebahagian daripada identiti negara.

“Melalui pemahaman dan apresiasi yang mendalam terhadap warisan sejarah, kita dapat membentuk sebuah masyarakat yang menghargai dan menghormati pelbagai lapisan budaya.

“Oleh itu, kesedaran sejarah dalam kalangan masyarakat adalah penting untuk memastikan warisan ini bukan hanya menjadi tarikan pelancongan tetapi menjadi sumber kebanggaan dan kekayaan untuk setiap rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke- 150 Bandar Taiping di Dataran Warisan Taiping, di sini.

Datuk Seri Saarani

Ujar Saarani lagi, langkah-langkah yang berkesan perlu diambil dalam memastikan warisan sejarah dapat diakses dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Pendidikan tentang sejarah dan budaya perlu disalurkan melalui pelbagai medium agar dapat menyentuh hati dan minda setiap individu.

“Dengan cara ini, kita boleh menyakinkan bahawa warisan sejarah bukan sahaja dilihat sebagai satu bentuk nostalgia, tetapi sebagai titik tolak untuk pertumbuhan dan perkembangan masyarakat yang maju dan celik ilmu,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, slogan “Kelestarian Warisan Mendepani Urbanisasi” telah dipilih sebagai tema sambutan 150 tahun Bandar Taiping.

Tema tersebut mencerminkan keperluan untuk menjaga keindahan alam semula jadi, selain kelestarian warisan yang merujuk kepada usaha-usaha memelihara keaslian alam serta memastikan kawasan bersejarah terpelihara dengan baik dalam mengekalkan keseimbangan antara pembangunan bandar dan alam semula jadi.

Show More

Related Articles

Back to top button