Berita SemasaLuar Negara

Angka korban di Gaza melepasi 25,000

GAZA – Jumlah penduduk Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak perang meletus antara Israel dan Hamas pada Oktober tahun lalu telah melepasi 25,000, kata pegawai kesihatan Gaza.

Memetik laporan Reuters, serangan Israel dan pertempuran jalanan berlaku di seluruh kawasan yang dikendalikan Hamas dari Jabalia di utara hingga selatan Khan Younis pada Ahad.

Israel berkata, tenteranya telah membersihkan sebahagian besar utara Gaza daripada rangkaian ketenteraan Hamas dan lebih sejuta penduduk di bahagian enklaf itu telah bergerak ke selatan untuk melarikan diri dari pengeboman.

Walau bagaimanapun, pertempuran masih berterusan di kem pelarian Jabalia dan kawasan lain di sekitar Bandar Gaza.

Kementerian kesihatan Gaza berkata, 178 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu, salah satu hari perang paling dahsyat setakat ini, manakala tentera Israel berkata seorang askar terbunuh dalam pertempuran.

“Seramai 25,105 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh dan 62,681 telah cedera dalam serangan Israel sejak 7 Oktober,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres pada Ahad mengecam Israel atas apa yang disebutnya kematian “menyayat hati” orang awam Palestin di Gaza.

“Operasi ketenteraan Israel telah menyebarkan kemusnahan besar-besaran dan membunuh orang awam dalam skala yang tidak pernah berlaku sebelum ini semasa saya sebagai setiausaha agung,” kata Guterres pada sidang kemuncak di ibu negara Uganda, Kampala.

Israel melancarkan kempennya untuk menghapuskan Hamas selepas kumpulan pejuang itu menyerbu Israel pada 7 Oktober dan menawan 253 tebusan ke Gaza.

Show More

Related Articles

Back to top button