Berita Semasa

Ahmad Zahid seru anak muda India ceburi bidang TVET berteknologi tinggi

SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyeru anak-anak muda khususnya dalam kalangan masyarakat India mengambil peluang menyertai bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berteknologi tinggi.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara, antara bidang TVET yang boleh diceburi adalah seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik, tenaga hidrogen dan lain-lain bidang yang bekenaan.

“Peluang pekerjaan seperti ini sudah tersedia kerana pelbagai institusi latihan sudah pun menjalinkan kolaborasi strategik dengan industri berkaitan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menghadiri Majlis Ponggal Perpaduan 2024 di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Dalam majlis tersebut, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut menyampaikan sumbangan peranti tablet daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri kepada seramai 200 pelajar kaum India yang sedang mengikuti pengajian di universiti-universiti tempatan.

“Diharapkan usaha ini dapat meningkatkan pencapaian anak-anak kita dan budaya untuk terus menyumbang bakti serta melaksanakan kerja-kerja kebajikan terus subur dalam kalangan pimpinan politik, ahli-ahli perniagaan, rakan-rakan NGO dan semua pihak demi meningkatkan taraf sosial masyarakat India di Malaysia.

“Jadikan perayaan Ponggal ini sebagai suntikan semangat untuk kita terus bekerja keras, penuh dedikasi dan berfikiran positif untuk terus menyumbang demi kemajuan masyarakat India dan negara,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button