Jenayah & Mahkamah

Penemuan rangka manusia di rumah tinggal, tiga direman bantu siasatan

BATU PAHAT – Tiga lelaki direman bagi membantu siasatan kes penemuan rangka manusia dalam sebuah rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah di sini, petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan terhadap ketiga-tiga suspek sehingga 27 Januari ini.

“Perintah reman terhadap semua suspek berusia 24 hingga 39 tahun itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismail turut berkata, proses bedah siasat ke atas rangka yang ditemukan itu sudah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, pagi tadi.

Katanya, sampel patologi daripada Jabatan Forensik HSI juga sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti si mati.

Penemuan rangka itu dikaitkan dengan kehilangan seorang ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah atau Bella yang hilang sejak 14 Disember 2023.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman, dilaporkan berkata, pihaknya akan menjalankan ujian DNA terhadap sampel diambil dari lokasi penemuan rangka itu secepat mungkin.

Katanya, sampel DNA turut diambil daripada ibu dan kakak Bella untuk dianalisa.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada rangka ditemui itu adalah Bella atau individu lain.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek yang ditahan termasuk teman lelaki dan bapa saudara teman lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan rangka yang tidak sempurna itu.

Show More

Related Articles

Back to top button