Berita Semasa

UK’S, Slam berkongsi satu pentas dalam Konsert UK’Slam Muzikal

KUALA LUMPUR – Dua kumpulan muzik pop rock legenda, UK’S dan Slam akan bergabung di atas satu pentas dalam Konsert UK’Slam Muzikal pada 3 Februari ini di Stadium Malawati Shah Alam .

Menurut penyanyi UK’S, Mohd Azmir Muhammad Yusuf, konsert itu bakal menjadi sejarah bagi dua kumpulan ini apabila dua kumpulan muzik yang terkenal ketika era 1990an akan membuat persembahan di atas satu pentas.

“Peluang yang tiba ini dianggap sebagai satu yang tidak terduga dan sukar untuk dilepaskan sebagai pemuzik dan anak seni yang telah lama berkecimpung dalam industri.

“Sehingga sekarang, telah hampir 60 peratus persiapan telah dibuat menjelang konsert ini nanti. Selain itu, persiapan mental dan fizikal juga menjadi titik utama buat kami.

“Saya masih lagi berusaha sedaya upaya untuk menghafal lirik-lirik lagu Slam, begitu juga Zamani untuk menghafal lagu-lagu UK’S,” katanya dalam sidang media kelmarin.

Konsert julung kali itu akan danjurkan oleh Bombbay Legend Worldwide bersama Amir UK’S Entertainment.

Selain Mohd Azmir atau lebih dikenali sebagai Amir, kumpulan tersebut juga akan menampilkan anggota asal UK’S iaitu Rozdenil Toni (gitaris), Mohamad Saleh Mohd Alias (bass), Amiruddin Shariff (drum) dan Mustafa Kamal Ahmad @ Mus Satira (gitar).

Sementara itu kumpulan Slam pula diterajui oleh Zamani Ibrahim (vokalis), Shah Nizam Abdul Halim @ Shah (gitar), Eddie Ahmad (keyboard), Nor Azli Masrani (bass) dan Othman Khalid (drum).

Konsert ini akan disertai oleh pemuzik-pemuzik undangan seperti Raja Mohd Sham (gitar akustik), Mirzan (Keyboard), Mohar (seruling bambu), Pa’ang (perkusi).

Dalam pada itu Zamani mengajak peminat kedua-dua kumpulan muzik ini yang popular dengan lagu hasil gubahan Shaari Amri untuk hadir beramai-ramai.

“Umum mengetahui bulan Februari akan penuh dengan konsert daripada pelbagai artis, tetapi ini tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan persembahan kerana kami pecaya, gabungan UK’S dan Slam mempunyai peminat yang tersendiri tidak kira usia. Sama-sama kita doakan agar konsert muzikal ini akan berlangsung dengan jayanya,” kata Zamani.

Setakat ini, sebanyak 50 peratus tiket untuk konsert ini telah terjual.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini masih boleh didapati di www.ilassotickets.com atau hubungi talian hotline +6011-13297822 (Whatsapp sahaja).

Show More

Related Articles

Back to top button