Berita Semasa

Pengilang padi, pemborong dan peruncit beras wajib patuhi peraturan lesen

CYBERJAYA – Mana-mana pengilang yang didapati gagal mematuhi peraturan lesen sehingga memberi kesan terhadap bekalan beras tempatan akan dikenakan tindakan tegas.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan hari ini memberi amaran kepada pengilang padi, pemborong dan peruncit beras selaku pemegang lesen wajib mematuhi peruntukan perundangan bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.

Kenyataan sama menyebut, tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil sekiranya pemegang lesen gagal mematuhinya.

“Bekalan beras tempatan di pasaran sejak beberapa bulan lepas telah mengalami gangguan susulan peningkatan permintaan terhadap beras putih tempatan.

“Bagi memastikan bekalan terjamin, KPKM giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi di samping melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di sepanjang rantaian bekalan padi dan beras dalam negara,” kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Yan, Kedah telah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM12,000 terhadap Kilang Beras Seng Wor Sdn Bhd selepas mengaku bersalah atas dua kesalahan.

Dalam perbicaraan pada 15 Januari lepas, syarikat itu dituduh menjual 250 kilogram beras gred hancur kepada pihak tidak berlesen dan kesalahan perselisihan kuantiti beras hancur pada rekod berbanding stok fizikal dalam milikan sebanyak 10,593.70 kilogram.

Hukuman itu membabitkan denda sebanyak RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM5,000 bagi pertuduhan kedua dan hasil rampasan bernilai RM25,000 dijadikan hasil kerajaan.

Dalam pada itu, KPKM turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan mengenai aktiviti berkaitan padi dan beras yang menyalahi undang-undang dinasihatkan supaya melaporkan kepada beberapa saluran yang disediakan.

Antaranya portal aduan melalui portal aduan, emel ke aduankpb@kpkm.gov.my atau menghubungi talian 03-88701751/1748/1183.

Show More

Related Articles

Back to top button