Jenayah & Mahkamah

Wanita jatuh Jambatan Pulau Pinang dakwa ditolak

GEORGETOWN – Polis mengklasifikasikan kes pasangan jatuh dari Jambatan Pulau Pinang di sini, semalam sebagai cubaan bunuh.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, ia susulan siasatan awal dilakukan mendapati wanita berusia 40 tahun itu mendakwa dia ditolak pasangannya yang turut ‘terjatuh’ bersamanya ke laut.

Bagaimanapun katanya, keterangan lelaki berusia 37 tahun yang juga seorang pegawai kanan polis, bagaimanapun belum lagi diambil berikutan masih dirawat di hospital susulan kecederaan pada kepala.

“Kita percaya berlaku pertengkaran di tempat kejadian dan wanita berasal dari Pulau Pinang itu mendakwa dia ditolak lelaki berkenaan.

“Sehubungan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh,” katanya memetik laporan BH Online.

Terdahulu beliau mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita dikatakan bertelingkah dengan seorang lelaki sebelum kedua-duanya terjatuh di Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 2.8 menghala Perai.

Seorang lelaki yang juga anggota tentera turut terjun ke laut bagi menyelamatkan mangsa sebelum mereka dibawa menaiki bot oleh nelayan yang kebetulan berada di lokasi.

Kok Chin berkata, siasatan mendapati lelaki yang terjatuh itu adalah pegawai kanan polis yang bertugas di luar Pulau Pinang.

Ditanya mengenai dakwaan pasangan itu menjalinkan hubungan cinta, beliau berkata ia masih dalam siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button