Berita SemasaLuar Negara

Hari ke-100 perang Israel-Hamas: Tiada tanda gencatan senjata

GAZA – Tiada tanda-tanda menunjukkan perang Israel-Hamas akan tamat ketika konflik tersebut yang kini telah memasuki hari ke-100 sejak ia tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.

Israel meneruskan pengeboman di Semenanjung Gaza semalam dan berikrar untuk meneruskan serangannya bagi memusnahkan Hamas.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, Israel tidak akan berhenti melakukan serangan walaupun telah dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague atas pertuduhan melakukan jenayah perang di Gaza.

“Tiada siapa yang akan menghalang kami – bukan The Hague, bukan Axis of Evil, tiada siapa,” katanya pada sidang akhbar, merujuk kepada pejuang Hamas, Hizbullah serta Houthi yang disokong Iran.

Sejak tiga bulan selepas perang tercetus, sekurang-kurangnya 23,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan Gaza yang musnah sama sekali.

Lebih buruk lagi, sebahagian daripada 2.3 juta penduduk Gaza terhimpit ke sudut kecil di selatan hujung enklaf.

Di bandar selatan Rafah, serangan udara Israel ke atas sebuah rumah yang melindungi dua keluarga mengakibatkan 10 terkorban, maklum kementerian kesihatan Gaza.

Sambil memegang gambar seorang gadis mati dengan sekeping roti di tangannya, Bassem Arafeh berkata, sebuah keluarga di Rafah diserang ketika mereka sedang makan malam pada malam Jumaat.

“Kanak-kanak ini mati semasa dia lapar, semasa dia makan sekeping roti tanpa di atasnya, di manakah Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk melihat bagaimana kanak-kanak itu mati?,” kata Arafeh.

“Di manakah umat Islam … dan pemimpin dunia?,” soal Arafeh memetik laporan Reuters.

Skala pembunuhan di Gaza dan situasi kemanusiaan yang teruk telah mengejutkan dunia dan menyemarakkan gesaan untuk gencatan senjata, dengan Afrika Selatan melancarkan kes di ICJ menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Israel telah menolak tuduhan itu dengan menyatakan bahawa tindakannya di Gaza telah diambil untuk mempertahankan diri selepas Hamas menyerang sekumpulan komuniti di selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,200 warga Israel dan warga asing serta menawan 240 tebusan.

Tambahnya, Israel mendakwa telah membunuh lebih daripada 8,000 pejuang Hamas dan mengumumkan fasa baharu dalam pertempuran dengan mengundurkan beberapa pasukan dari utara Gaza, sambil mengekalkan operasi di selatan, di mana pemimpin kanan Hamas termasuk ketua pergerakan di Gaza Yahya Sinwar dipercayai bersembunyi.

Sistem kesihatan ‘runtuh’

Jurucakap kementerian kesihatan Gaza Ashraf Al-Qidra berkata, serangan Israel membunuh 135 rakyat Palestin dan mencederakan 312 dalam tempoh 24 jam lalu.

Secara keseluruhan, katanya, 23,843 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh sejak 7 Oktober.

Ketika pertempuran berterusan, ketua UNWRA, agensi bantuan PBB untuk rakyat Palestin, berkata kematian dan kemusnahan sepanjang 100 hari lalu adalah “mencemari nilai kemanusiaan bersama”.

Di Hospital Nasser, segelintir doktor berkata mereka sedang bergelut dalam sistem penjagaan kesihatan yang kini “runtuh”.

Rakaman Reuters menunjukkan pesakit berbaring di atas pengusung di atas lantai di dalam koridor dan doktor menggunakan lampu suluh telefon mereka untuk memeriksa mata pesakit.

“Kebanyakan bekalan perubatan di ICU hilang.

“Kami tidak mempunyai katil kosong, tiada rawatan. Kebanyakan ubat-ubatan di dalam bilik kecemasan tidak mencukupi untuk pesakit. Kami cuba mencari alternatif,” kata doktor Mohammad Al-Qidra.

Selain itu, hospital dikongsi oleh ramai orang yang kehilangan tempat tinggal.

“Apabila kami meminta ubat, mereka memberitahu kami mereka tidak memilikinya, dan keadaannya teruk. Kami berada di sini dalam cuaca sejuk dan berangin,” kata Mahmoud Jaber, yang telah dipindahkan dari rumahnya di Bandar Gaza.

Show More

Related Articles

Back to top button