Berita Semasa

Belum ada perbincangan RUU kekal kerajaan hingga akhir penggal – Fahmi

KUALA LUMPUR – Belum ada sebarang perbincangan mengenai rang undang-undang (RUU) bagi mengekalkan sesebuah kerajaan yang mentadbir negara hingga ke akhir penggal.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata, cadangan mewujudkan RUU itu ada dibangkitkan di peringkat Jemaah Menteri.

“Di beberapa negara lain, kebiasaannya undang-undang antilompat parti disekalikan (dengan Akta Parlimen Berpenggal Tetap) atau ada juga undang-undang yang menetapkan tempoh bagi sesebuah Parlimen.

“Contohnya di United Kingdom ada Akta Parlimen Berpenggal Tetap dan di Amerika Syarikat pula, tempoh bagi seseorang Presiden itu berkhidmat adalah empat tahun kecuali beliau berundur atau meletakkan jawatan lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan sayap baharu Orchid Wing di OasisEye Specialists, di sini hari ini.

Tambahnya, sebelum ini, terdapat beberapa pandangan secara terbuka atau dalam perbincangan yang lebih khusus mengenai keperluan dan kesesuaian akta tersebut.

Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, cadangan RUU itu dilihat sebagai antara usaha bagi menjamin kestabilan sesebuah negara sekali gus memastikan peristiwa seperti pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali pada penggal ke-14 Parlimen tidak berulang.

Mengenai isu pelantikan Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sangetha Jayakumar sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Klang (PLK), Fahmi berkata ia bukan satu masalah kerana parti itu hanya mengkritik pelantikan politik ke syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Fahmi, yang juga Ketua Penerangan parti berkata, terdapat perbezaan antara GLC dan badan berkanun kerana badan berkanun adalah tertakluk kepada akta dan undang-undangnya sendiri.

“Jadi, pelantikan beliau bukan satu masalah kerana LPK bukan GLC,” katanya sambil menambah beliau akan membawa perkara itu ke Kabinet susulan gesaan orang ramai yang inginkan penjelasan mengenai pelantikan sedemikian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button