Jenayah & Mahkamah

Suspek kes kebakaran rumah Ngeh Koo Ham ditahan

MANJUNG – Seorang lelaki ditahan polis berhubung kes kebakaran dipercayai akibat balingan bom petrol di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia 30-an ditahan di sekitar Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 4 pagi tadi.

“Suspek direman selama lima hari sehingga Selasa depan bagi siasatan lanjut. Turut dirampas adalah dua telefon bimbit miliknya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan penjara maksimum 14 tahun dan denda,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu berhubung dengan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837.

Dalam kejadian dua hari lalu, kediaman Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar, di sini dibaling bom petrol atau ‘molotov cocktail’ menyebabkan kereta Mercedes Benz E300, Honda CRV dan Toyota Hilux milik mangsa terbakar.

Kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kenyataan Penasihat DAP Perak itu yang mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Cadangan Pengerusi DAP Perak itu mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Islam dalam negara.

Susulan itu juga, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Show More

Related Articles

Back to top button