Automatif & Teknologi

EMOS lancar skuter maxi premium Kymco AK550

KELANA JAYA – Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS) hari ini melancarkan skuter maxi premium Kymco AK550 ke pasaran Malaysia yang mensasarkan pengguna perjalanan jarak jauh dan harian.

Jentera dua roda yang dipadatkan dengan teknologi moden dan unik ini mempunyai kuasa sesaran 550.4 cc dengan kuasa kuda 50.9hp pada rpm 7,500 manakala tork adalah 52Nm pada rpm 6,000.

Menariknya Kymco AK550 turut boleh menggunakan aplikasi Noodoe yang mampu menghubungkan pemilik jentera berkenaan dengan motosikal.

Malah, aplikasi Noodoe mampu memberikan maklumat terperinci jentera tersebut bermula sejak pemilik menghampiri skuter berkenaan, semasa menunggang sehinggalah dia meninggalkan motosikal tersebut.

Dengan reka bentuk premium, Kymco AK550 dilihat mampu menyaingi pelbagai model skuter maxi yang kini berada di pasaran Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EMOS, Roslan Roskan, Kymco AK550 bukan hanya jentera super touring biasa namun ia dipadatkan dengan enjin berkuasa tinggi dengan teknologi bijak bagi memudahkan penggunaannya.

“Memiliki Kymco AK550 adalah satu pengalaman yang tidak ternilai kepada bakal pemilik disebabkan jentera itu direka bentuk dengan teliti dan berupaya memberi pengalaman menarik kepada sesiapa yang menunggangnya.

“Dengan harga RM65,600 (tanpa insurans dan cukai jalan), Kymco AK550 boleh ditempah di bilik pameran Modenas terpilih bermula Februari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran EMOS, George Kashiwagi berkata, Kymco AK550 memberikan pengalaman premium dan unik kepada penunggang.

Dengan konsep sporty dan eksklusif kata Kashiwagi, jentera dua roda yang lengkap dengan teknologi terkini itu mampu memberikan gaya tunggangan prestasi tinggi selain amat selesa dan selamat.

Kymco AK550 diperkuat dengan bingkai aluminium untuk menjadikan skuter maxi berkenaan mempunyai berat 238 kilogram.

Jentera itu turut dijana dengan enjin dua silinder selari empat lejang DOHC dengan sistem penyejukan cecair serta mendapat bahan api dari tangki berkapasiti 15 liter.

Brembo merupakan sistem brek jentera dua roda ini dengan bahagian depan disesuaikam dengan angkup empat omboh pelengkap jejari berkembar terapung bersaiz 280mm manakala di bahagian belakang menerima angkup pemutar tunggal bersaiz 260mm.

Seperti jentera edaran EMOS lain, Kymco AK550 yang didatangkan dengan dua warna hitam dan cokelat itu turut diberikan jaminan 2 tahun atau 20,000 kilometer mengikut mana yang terdahulu.

Berminat untuk memandu uji dan memiliki jentera premium ini bolehlah ke bilik pameran Modenas terpilih bermula Februari.

Show More

Related Articles

Back to top button