Berita SemasaPM X

Malaysia, Singapura meterai perjanjian zon ekonomi khas

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong hari ini menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahamam ( MoU) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) antara Malaysia dengan Singapura.

Memorandum berkenaan ditandatangani Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dengan Menteri Perdangangan dan Perusahaan Singapura, Gan Kim Yong.

Menurut Rafizi, JS-SEZ akan membuka peluang baharu dalam meningkatkan aliran rentas sempadan barangan dan orang ramai, memperkukuh ekosistem perniagaan, dan meningkatkan daya tarikan ekonomi Johor dan Singapura.

“Saya yakin sepenuhnya bahawa inisiatif ini akan menandakan permulaan transformasi dalam hubungan ekonomi dua hala, kita akan memupuk ketersambungan dan kemakmuran yang tiada tandingan bagi kedua-dua negara.” katanya, hari ini.

Sementara itu, Kim Yong berkata, JS-SEZ mempunyai kelebihan dalam merapatkan komuniti perniagaan antara kedua negara.

“Ia akan menjadi jambatan bagi kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kekuatan satu sama lain dan merebut peluang untuk berkembang bersama.

“Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan perdagangan dua hala berkembang 18.9 peratus tahun ke tahun kepada S$153 bilion pada 2022.

“Singapura juga merupakan sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia, yang menyumbang 20.5 peratus jumlah FDI kepada Malaysia pada 2022,” katanya.

Idea penubuhan zon itu pertama kali dicetuskan Rafizi selepas pertemuan dengan kerajaan Johor di Iskandar Puteri pada Mei tahun lepas.

Pada bulan Julai berikutnya, kedua-dua negara bersetuju mengorak langkah lebih jauh dengan menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji daya maju penubuhan zon ekonomi khas berkenaan.

Pada September tahun lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura itu akan mengambil contoh usaha pembangunan Zon Ekonomi Shenzhen yang berupaya merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM1.93 trilion pada 2021.

Katanya, kejayaan zon ekonomi itu boleh membawa kepada pengembangan pesat seperti bandar Shenzhen di China, yang berubah daripada sebuah bandar kecil berpenduduk kira-kira 300,000 orang kepada bandar raya metropolis antarabangsa berteknologi tinggi didiami lebih 17 juta orang selepas empat dekad.

Pada 2022, Johor dilaporkan menerima pelaburan asing bernilai RM70.6 bilion dalam pelbagai sektor.

Singapura selaku pelabur asing kedua terbesar di negeri itu menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) Johor dalam sektor pembuatan.

Pewujudan zon ekonomi baharu bukan sahaja akan mengukuhkan lagi aktiviti perdagangan dan perniagaan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura, malah mampu muncul sebagai hab ekonomi utama di rantau Asia.

Show More

Related Articles

Back to top button