Berita SemasaSukan

Elaun bulanan atlet Program Podium ditukar kepada gaji – Hannah

KUALA LUMPUR – Bayaran elaun bulanan bagi atlet di bawah Program Podium ditukar kepada gaji dan akan dinaikkan dengan minimum asas sebanyak RM1,500 sebulan, umum Kementerian Belia dan Sukan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, 307 atlet dan 86 atlet para yang berada di bawah program berkenaan, sekali gus menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata mereka bakal menandatangani kontrak selama dua tahun bermula bulan ini.

“Carumannya sebanyak 11 peratus bagi pihak atlet dan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) 13 peratus…atlet kita minta ada jaminan untuk mereka, jadi kita telah sampaikan serta tunaikan hasrat itu dan saya mahu atlet tunaikan hasrat rakyat Malaysia dapatkan pingat emas Olimpik,” katanya memetik laporan Bernama.

Terdahulu, Hannah menghadiri Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2024 di MSN di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, langkah itu bakal memberi impak kewangan berjumlah RM16 juta setahun kepada MSN.

Dalam pada itu, beliau berkata KBS juga telah meminta MSN untuk mengkaji semula elaun jurulatih menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan.

“Kita sudah ada beberapa bengkel dan MSN akan koordinasi, kita kena bentang kepada jawatankuasa MSN sebelum melaksanakan apa-apa,” katanya lagi.

Dalam amanatnya, Hannah turut mengumumkan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) akan diperkasa dengan penyaluran bantuan supaya dapat mengendalikan aspek perancangan seperti latihan, penyertaan ke pertandingan antarabangsa, pengawalan peralatan latihan serta bayaran elaun atlet-atlet.

Beliau berkata, fokus utama pencapaian sukan bagi tahun 2024 adalah misi tambah pingat emas pada Sukan Olimpik Paris selain memberi tumpuan kepada temasya seperti Sukan Malaysia XXI Sarawak 2024 dan Le Tour de Langkawi 2024 dan mempersiapkan Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025 di Thailand.

Show More

Related Articles

Back to top button