Berita Semasa

Siasatan terhadap Daim Zainudin untuk beri imej korup -isteri

PUTRAJAYA – Isteri Tun Daim Zainudin, Toh Puan Naimah Khalid mendakwa siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas suaminya berhubung isu rasuah bertujuan memburukkan imejnya.

Naimah dalam kenyataan yang dibacakan sebelum memberi keterangan berkata, tindakan itu bertujuan menganiyai suaminya kerana kejayaannya sebagai seorang ahli perniagaan sebelum menganggotai Kabinet pada 1984.

“Kini, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa beliau seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya.

“Sebagai sebuah negara yang bebas dan mengamalkan demokrasi, tidak menjadi kesalahan untuk berjaya dalam bidang perniagaan dan industri sehingga mengecap kekayaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Naimah bersama dua anaknya hadir ke pejabat SPRM ini bagi memberi kenyataan berhubung isu rasuah membabitkan suaminya.

Katanya, kejayaan suaminya dalam bidang perniagaan tidak sepatutnya dijadikan isu turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“la sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal, malah tiada ahli perniagaan yang berjaya di negara ini akan telepas daripada tuduhan sedemikian,” katanya.

Bagaimanapun beliau turut menjelaskan pihaknya akan memberikan kerjasama kepada SPRM seperti yang dikehendaki undang-undang.

“Walaupun kami tetap mempersoalkan motif siasatan. Kami tahu kami akhirnya akan dibuktikan tidak bersalah,” jelasnya.

Daim sebelum ini disiasat berkait penyitaan bangunan Menara Ilham milik bekas menteri kewangan itu yang dipercayai terlibat dengan rasuah dan pengubahan wang.

Show More

Related Articles

Back to top button