Berita Semasa

Bom petrol mungkin ada kaitan dengan kenyataan mahkamah Syariah – Koo Ham

MANJUNG -Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham percaya kejadian kebakaran dipercayai akibat balingan bom petrol atau molotov cocktail di kediamannya awal pagi tadi mempunyai kaitan dengan isu mahkamah Syariah baru-baru ini.

Beliau percaya, kenyataannya yang menerima kecaman hebat daripada masyarakat beragama Islam itu adalah satu-satunya kejadian yang mungkin menyebabkan ada individu yang berani bertindak sedemikian.

Beliau pada masa yang sama berkata, terdapat pemimpin politik yang memutar belit kenyataan media yang dibuat pada 28 Disember lalu sehingga mendatangkan kebencian melampau kepadanya.

“Saya tak memusuhi sesiapa sepanjang 33 tahun menjadi wakil rakyat. Malah sepanjang tempoh ini saya kenal dengan orang setempat dan mereka semua baik dengan saya.

“Jadi saya syak suspek yang membuat khianat ini ada kaitan dengan kenyataan media yang telah saya keluarkan pada 28 Disember 2023,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Beruas di Ayer Tawar, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar pukul 3 pagi tadi, bahagian garaj di kediaman Koo Ham terbakar menyebabkan tiga kenderaan mengalami kerosakan.

Siasatan awal polis di tempat kejadian turut menemukan botol disyaki berisi bahan mudah terbakar.

Menurut Koo Ham, beliau juga tidak mempunyai pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kedimannya kerana merasakan kawasan tersebut selamat.

Dalam kejadian pagi tadi, kebakaran akibat balingan bom petrol di pekarangan rumahnya menyebabkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.

Polis kemudian menemui satu botol yang disyaki mengandungi bahan mudah terbakar dipercayai dilontar oleh individu berniat khianat.

Koo Ham sebelum ini mencadangkan kerajaan melantik pakar bukan Islam dalam jawatankuasa khas mengkaji bidang kuasa mahkamah Syariah.

Kenyataan beliau itu mencetuskan kemarahan umat Islam termasuk dalam kalangan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button