Jenayah & Mahkamah

‘Mangsa dilarikan kerana enggan teruskan hubungan’ – Polis

CYBERJAYA – Motif kejadian seorang pelajar Tingkatan Lima dilarikan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, Jumaat lalu dikenal pasti akibat mangsa enggan meneruskan hubungan dengan salah seorang suspek.

Laporan BH Online menyebut, Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir sebagai berkata, mangsa mengenali seorang daripada suspek yang juga bekas teman lelakinya.

“Suspek tidak puas hati kerana mangsa memutuskan perhubungan,” lapor BH Online.

Terdahulu, media melaporkan tiga individu direman kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Semua suspek direman empat hari bermula semalam hingga 9 Jan untuk siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang.

Dalam kejadian pada Jumaat lalu, pelajar Tingkatan 5 itu ditarik secara paksa ke dalam kereta sebelum dibawa ke sebuah inap desa.

Mangsa kemudiannya dibebaskan pada kira-kira pukul 12 tengah hari pada hari sama dan tidak dicederakan sepanjang dilarikan dan dikurung.

Ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 10.36 pagi pada hari yang sama.

“Hasil siasatan, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 20 tahun kira-kira 11.30 malam hari kejadian,” katanya lagi.

Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota dan motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai ada kaitan dengan kes itu.

Show More

Related Articles

Back to top button