Jenayah & Mahkamah

Polis giat buru suspek pecah rumah di Taiping

TAIPING – Polis sedang giat memburu suspek yang terlibat dalam satu kejadian pecah masuk rumah di Taman Bukit Mas di sini, Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Razlam Ab Hamid, hasil rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) memaparkan kelibat dua suspek yang tidak dikenalpasti keluar dari pintu pagar rumah sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Honda City berwarna merah.

“Pihak polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki Cina memaklumkan bahawa rumahnya di Taman Bukit Mas, Taiping, Perak telah dimasuki pencuri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Razlam berkata semakan pada nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek didapati palsu atau kereta klon.

“Pemeriksaan dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping mendapati kenderaan sama berada dalam stor di Seri Kembangan, Selangor,” jelasnya.

Polis Taiping telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 451 Kanun Keseksaan dan sedang giat menjalankan risikan untuk mengesan serta mehangkap suspek yang terlibat.

Show More

Related Articles

Back to top button